Sunday 20 October 2013

Warkah untuk bakal zuriatku

Assalamualaikum


Khas buat bakal zuriatku,

Tidak kira lelaki atau perempuan. Kehadiran kamu di dunia ini memberi seribu erti kepada ibu dan ayah. Kamu adalah tanda cinta kami.

 Bakal zuriatku,

Di harap pada masa akan datang kamu dapat membaca coretan ibu ini. Ibu sentiasa berdoa semoga kamu menjadi anak yang sentiasa mendengar kata,bijak dalam segala hal dan sentiasa menjaga maruah diri dan tingkah lakumu tidak kira di mana pun kamu berada. Ibu tidak mahu kamu leka dengan keindahan dunia sehingga mengabaikan akhirat yang hakiki. Ingatlah tiada yang lebih berkuasa selain Allah di dunia ini.

Bakal zuriatku,

Jika kamu lahir ke dunia ini. Insya Allah, ibu berjanji yang ibu akan mendidikmu dengan ilmu agama yang secukupnya. Walaupun ibu banyak kekurangan dari sudut agama tetapi ibu akan cuba memperbaiki diri ibu sebelum kamu lahir ke dunia. Ibu tidak mahu kamu lari dari landasan agama anakku. Itu janji ibu kepada kamu anakku.

Bakal zuriatku,

Ibu sudah terlalu banyak menghadapi kesusahan hidup dahulu. Jadi ibu tidak mahu kamu juga hidup susah seperti ibu. Ibu akan bekerja keras untuk menyempurnakan segala keperluan kamu di dunia ini. Tetapi, harus diingat kepada kesusahan yang orang lain alami kerana melalui kesusahan itu kamu akan tahu erti hidup yang sebenar. Kesusahan hidup akan mengajar kamu menjadi orang yang berguna untuk keluargamu,masyarakat, agama dan negara. Insya Allah.

Bakal zuriatku,

Ikatan kekeluargaan amat penting bagi ibu. Kamu jagalah ia dengan sebaiknya. Jika kamu mempunyai adik-adik yang lain jagalah mereka. Jangan biarkan ikatan antara adik beradik itu putus sehingga tidak bertegur sapa. Hal itu amat merugikan kita wahai anakku. Dengan adanya ikatan kekeluargaan inilah yang akan melindungi keluarga kita daripada hasad dengki orang luar. Percayalah anakku. Jika kamu diberi dua pilihan antara keluarga dan kawan-kawanmu. Fikirkanlah sedalamnya kerana ikatan kekeluargaan seperti air tidak akan putus.

Bakal zuriatku,

Tidak ada ibu yang tidak menyayangi anaknya. Jika engkau merasa meluat dan bosan apabila mendengar ibu berleter atau menegur salah lakumu. Ibu berharap kamu berfikir semula dengan segala perkara yang ibu katakan. Adakah ia akan memberi kebaikan kepada kamu nanti. Renungkanlah. Ya, memang ibu pernah muda dan pernah juga ingin hidup bebas. Tetapi sejauh mana kebebasan itu yang kita akan dapat. Kita tidak akan merasa tenang anakku. Setiap kebebasan ada batasnya dan batasannya kamu kena kembali kepada Islam. Jika tidak kamu akan terkandas di lembah kehinaan.

Bakal zuriatku,

Jika ibu dan ayah sudah tiada di dunia ini. Doakanlah ibu. Jadilah anak yang soleh supaya boleh menjadi bekalan kepada ibu dan ayah untuk menghadap yang maha berkuasa. Jangan lah kamu bersedih. Teruskan hidupmu. Teruskan beriman kepada Allah.

Akhir kata dari ibu buat bakal zuriat ibu,

Ibu sentiasa mendoakan yang terbaik  buat kamu. Dan ibu sangat sayangkan kamu walau siapa pun kamu di dunia ini.


Salam sayang dari ibu.






Warkah untuk bakal zuriatku. Cetusan idea daripada naluri aku sendiri. Ya, memang aku tak kahwin lagi dan tak mungkin ada anak lagi. Tetapi aku terfikir sendiri. Apakah harapan mereka terhadap zuriat mereka.

Cetusan idea muncul apabila aku tengah sedih sambil pegang gambar arwah mak masa itu. Dan tiba-tiba soalan datang kepada diri aku sendiri. Apakah harapan mak dan ayah semasa mereka hidup terhadap diri aku dan adik-adik. Lepas itu, aku pandang muka nenek yang sudah membesarkan tujuh orang anak. Dan aku pandang muka mak cik-mak cik aku yang sedang mendidik dan membesarkan anak-anak mereka yang masih di bangku sekolah lagi. Aku nampak kepenatan di wajah mereka tetapi kepenatan itu ditutup dengan senyuman yang amat manis sekali. Itulah kekuatan seorang ibu. Mungkin warkah di atas adalah salah satu daripada harapan mereka kepada kita sebagai anak mereka.

Jadi, apa tindakan kita sebagai anak. Renungkanlah.

Sekian.

Terima kasih kerana sudi membaca.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...